Wednesday 4 May 2011

Karangan PMR 3

Cara-cara Mengatasi Gejala Sosial


Perkembangan semasa yang membabitkan disiplin pelajar di sekolah kian mendapat perhatian daripada pelbagai pihak, terutamanya pihak Kementerian Pelajaran. Walaupun ada pihak yang beranggapan bahawa perkara ini sebagai kes terpencil, namun masalah ini memberikan impak yang besar yang boleh menggugat keceriaan masa depan pelajar. Hal ini demikian kerana gejala sosial yang menjadi-jadi ini sering membabitkan golongan remaja. Oleh itu, pelbagai usaha yang berkesan dan proaktif pelru diambil bagi mengatasi gejala social dalam kalangan remaja.


Pertamanya, ibu bapa memainkan peranan penting untuk membanteraskan gejala social dalam kalangan remaja. Mereka ialah orang yang terdekat dengan remaja. Mereka perlu memberikan didikan agama dan moral yang sempurna serta menerapkan nilai-nilai murni yang tersirat dalam jiwa anak-anak mereka. Melentur aur biarlah dari rebungnya. Dengan didikan agama dan moral yang kukuh dipegang ini, remaja dapat membina benteng pertahanan diri yang kukuh dan tidak rapuh. Bak kata perpatah, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Benteng pertahanan ini tidak mudah ditembusi oelh anasir-anasir jahat dan mengelakkan remaja daripada terjerumus dalam kancah kemungkinan dan kebejatan sosial ini.


Seterusnya, golongan ibu bapa juga perlu meluangkan masa yang mencukupi bersama-sama ahli keluarga mereka. Walaupun setiap hari mereka perlu bekerja dari siang hingga malam, mereka juga haruslah memperuntukkan masa untuk berbual-bual dengan anak-anak mereka. Dengan demikian, mereka akan dapat mengambil tahu tentang perkembangan peribadi anak dan juga perkembangan pelajaran anak mereka di sekolah. Hakikatnya, hubungan silaturahim antara ahli keluarga dapat terjalin di samping semangat permuafakatan dapat dipupuk dalam kalangan ahli keluarga, sambil menyelam minum air.


Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam membentung gejala social yang membimbangkan ini. Pihak sekolah perlu mengetatkan peraturan sekolah bagi mengenakan tindakan disiplin yang tegas terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin. Sehubungan itu, jawatankuasa disiplin sekolah haruslah ditubuhkan bagi menggariskan panduan dan pendekatan yang proaktif untuk mengekang masalh disiplin sekolah. Tambahan pula, guru kaunselor harus memberikan perkhidmatan kaunseling kepada pelajar yang bermasalah disiplin itu. Nasihat dan panduan daripada guru kaunselor dapat mempengaruhi seseorang pelajar beralih ke arah yang betul dan berjaya. Bak kata pepatah, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal.


Pihak kerajaan pula haruslah mempergiat kempen-kempen kesedaran yang diadakan itu. Kempen itu haruslah diadakan dengan berkesan dan berterusan supaya dapat memberi kesedaran kepada para remaja tentang keburukan gejala social ini. Lantaran itu, Kementerian Pelajaran sekolah telah menyediakan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pelajaran Sivik dan Kenegaraan untuk menerapkan niali-nilai positif dalam jiwa pelajar. Usaha ini berkesan kerana dapat mendidik anak-anak pelajar menerusi saluran yang formal dan betul.


Akhir sekali, pihak media massa juga dapat memberikan bantuan untuk menjayakan usaha murni kerajaan ini dengan mengheboh-hebohkan kempen yang dianjurkan oleh kerajaan itu. Iklan, drama dan segala bahan terbitan media cetak haruslah menjurus ke arah pembentukan akhlak mulia dan kepenting keharmonian kekluargaan. Sehubungan itu, tayangan video yang mengandungi adegan-adegan keganasan dan seks perlu diharamkan dan ditapiskan.


Kesimpulannya, semau pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu dan menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing bagi mengekang gejala sosial daripada terus membelenggu anak-anak remaja kita. Oleh itu, kemajuan fizikal yang digerakkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan perlulah seiring dengan perkembangan aspek sahsiah dan nilai murni. Hal ini perlu dilakukan secara seiring supaya status negara maju yang bakal digapai nanti turut didiami oleh masyarakat yang bermoral dan berbudi bahasa, yang mindanya kelas pertama!
(532 patah perkataan)

Chang Jia Liang

No comments: